Tentang Blog

My photo
Bantah sekeras-kerasnya keputusan Prof Dr. Mohd Fauzi Ramlan untuk merobohkan Kolej Mohamad Rashid. Kami bantah bukan dek kerana kami ingin menegakkan benang yang basah, kami bantah kerana kebajikan kami bakal terabai. Blog ini diwujudkan adalah untuk menyebarkan maklumat kepada seluruh warga kampus Universiti Putra Malaysia dan masyarakat serta Alumni KMR. Ini bukan provokasi tapi sesuatu kronologi yang benar dan pasti. Diharapkan agar yang membaca benar-benar faham mengenai perasan pelajar KMR dan serba sedikit dapat mengetahui sejauhmana kebajikan pelajar terabai.

Saturday 23 April 2011


Terkilan kolej KMR UPM bakal dirobohkan
Abdul Adli
Apr 23, 11
11:25am
Kongsi 39
Tidak ramai yang tahu, tidak ramai yang ambil tahu apatah lagi berbuat sesuatu. Tidak heboh di media arus perdana, supaya masyarakat tak banyak soal. Namun, inilah realitinya nasib kolej yang pertama berdiri di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kolej Mohamad Rashid (KMR), usianya tidak setua usia penjara pudu, dinding dan lantainya masih kukuh berdiri. Hanya kerana masalah pendawaian (wiring), kos baikpulihnya didakwa terlalu besar, justeru KMR diisytihar tidak selamat.

Atas nama pembangunan, nasib kolej ini hampir sama seperti Penjara Pudu di kotaraya Kuala Lumpur. Penjara Pudu salah satu warisan bangunan lama berdiri di negara kita. 

Bezanya, Penjara Pudu tempat orang bersalah dan KMR tempat golongan terpelajar. KMR akan dirobohkan dan dibina bangunan baru berfungsi sebagai kompleks dan kolej.

KMR adalah warisan UPM. Pembinaannya di atas tapak estet Serdang oleh Macmillan and Company yang pada awalnya dikenali sebagai Kolej Kediaman Pertama.

Kolej inilah teratak sebahagian profesor dan doktor-doktor di UPM yang dahulunya sejak UPM dikenali sebagai sekolah pertanian.

Sekilas pandang, projek ini memang memberi manfaat kepada UPM dan warganya. Itu tidak dinafikan. 

Namun, penulis mula musykil dengan ketelusan pentadbiran untuk laksanakan projek ini apabila wakil pelajar KMR meminta laporan rasmi kerosakan bagi membuktikan KMR tidak selamat, TNC HEPA dan Pejabat Pembangunan berdalih dan beralasan untuk serahkan, rupa-rupanya belum ada laporan kerosakan KMR dibuat. Ini berlaku kira-kira pertengahan Mac lalu.

Lebih menghairankan, ada wakil KMR mendakwa mereka pernah ditunjukkan cadangan rekabentuk kompleks baru yang akan didirikan. Namun, apabila mereka minta laporan rasmi kerosakan KMR, tidak diberi pula. 

Datangnya cadangan projek terlebih dahulu sebelum laporan rasmi kerosakan dikeluarkan. Ini petanda projek dilaksanakan tidak telus.

Oleh itu, penulis beranggapan KMR dirobohkan untuk membolehkan projek bernilai jutaan ringgit itu diteruskan. Persoalannya, mengapa di tapak KMR itu kompleks baru dibina? Sedangkan tanah umpama padang ragut di UPM masih luas.

Penulis tidak menolak pembangunan di UPM. Penulis hanya mahu luahkan rasa kecewa penulis terhadap pentadbiran universiti yang tidak telus dalam melangsungkan projek sebesar ini. Banyak lagi perkara yang disembunyikan pentadbiran dari pengetahuan awam. Belum lagi penulis sentuh tentang kesan-kesan projek ini dibuat.

Penulis mahukan ketelusan pentadbiran UPM dan tidak terlalu berdolak-dalih dengan pelajar sehingga timbulnya rasa kurang senang terhadap pentadbiran universiti penyelidikan ini. 

Alumni-alumni, pelajar-pelajar dan warga UPM, ingatlah KMR sebagai warisan UPM akan hilang. KMR akan roboh hanya kerana pembangunan yang dibuat dengan rasa dukacita dan kecewa pelajar serta mereka yang cintakan keadilan dan integriti. Kalau sudah roboh, menangislah air mata darah sekali pun, kompleks baru tetap tidak sama dengan KMR.

Pentadbiran gagal meyakinkan pelajar dan warga UPM. Penulis tetap beranggap bahawa KMR dirobohkan hanya untuk membolehkan projek baru dibuat demi kepentingan ekonomi. Bukannya kerana KMR tidak selamat lagi didiami. Bukankah tanah di UPM masih luas? 

Penulis adalah mahasiswa UPM